Ahad, 13 November 2011

Tazkirah SEDAP ~ Cerita Si Penggunting Rambut

Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.

Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ 11 Amalan yang Terbalik/Songsang


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke
kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak. 

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

11. Kita cukup teruja untuk meng'forward'kan sms atau emel dalam bentuk gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada kawan2 kita??.....

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Istimewanya Madinah


Rasulullah pernah berdoa yang maksudnya:“Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih dari itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah.” [Bukhari dan Muslim]

Huraian :-

Rasulullah SAW telah berhijrah ke Madinah dan menjadikannya sebagai medan dakwah dan seterusnya sebagai Tanah Suci kedua selepas Tanah Suci Makkah al-Mukarramah. Ia kaya dengan sejarah-sejarah yang jelas terkandung di dalam Al-Quran. Sebelum Rasululullah SAW memasuki Madinah, ia merupakan sebuah negeri tempat bersarangnya penyakit. 

Antara kelebihan dan keistimewaan Madinah ialah:

1.Bumi Yang Subur Dan Makmur- Bumi Madinah mengeluarkan tamar Ajwah yang mempunyai khasiat lebih daripada khasiat yang terdapat pada tamar-tamar lain. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang di waktu pagi makan 7 biji kurma Ajwah, pada hari itu dia tidak akan terkena racun mahupun sihir.”

2. Masjid Nabawi- Ia terletak di tengah-tengah kota Madinah. Asalnya ia merupakan tapak pusat pengeringan tamar dan kebun tamar milik dua orang anak yatim iaitu Suhail dan Sahl. Rasulullah SAW telah membeli tanah itu daripada mereka dan membangunkan masjid bersama-sama dengan Kaum Ansar dan Muhajirin. Sabda Rasulullah SAW: “Pahala solat di masjidku ini adalah 1000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram,”( Bukhari dan Muslim)

3. Tanah Haram- Seperti Makkah, Madinah juga merupakan tanah haram. Ianya menjadikan setiap umat Islam sentiasa berwaspada dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT ketika berada di sana. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Madinah adalah tanah haram, letakknya antara Bukit Eir dan Bukit Tsur,sesiapa yang melakukan kezaliman (maksiat) atau melindungi orang yang melakukan kezaliman di dalamnya maka ke atasnya laknat Allah SWT,malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan sama ada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah SWT daripadanya pada hari kiamat kelak.” ( Bukhari dan Muslim)

4.Keutamaan Meninggal Dunia di Madinah- iaitu bagi sesiapa yang boleh menetap di Madinah hingga sampai ajalnya. Oleh kerana ini jugalah maka Khalifah Umar r.a pernah berdoa kepada Allah SWT: “Ya Allah, kurniakanlah aku syahid di jalan-Mu dan jadikanlah matiku di negeri Rasul Mu.”

5.Terpelihara Daripada Dajjal- Madinah merupakan kota yang dijanjikan Rasulullah tidak akan di masuki oleh Dajjal. Anas ibn Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak ada suatu negeri pun kecuali Dajjal akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah ,di keduanya tidak terdapat satu tempat pun kecuali para malaikat akan berbaris menjaganya. .Kemudian Madinah akan menggongcangkan penduduknya sebanyak tiga kali,lalu Allah SWT mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik.”(Riwayat Bukhari)

Demikianlah antara kelebihan atau keistimewaan Madinah. Maka tidak hairanlah jika sekali bumi Madinah dipijak, akan terasa kerinduan untuk mengunjunginya lagi. Ini kerana suasana di Madinah cukup aman dan damai serta penuh dengan ketenangan. Semoga dengan mengunjungi Madinah akan dapat menambahkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Bersedekah Membawa Keberkatan Dan Kemuliaan


Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya”.[Riwayat Muslim]

Huraian :-

1.Orang yang bersedekah dengan ikhlas kerana Allah Taala tidak perlu bimbang tentang kekurangan hartanya kerana Allah Taala berjanji menambahkan keberkatan ke atas hartanya itu.

2.Keampunan yang diberikan oleh Allah keatas hambanya adalah semata mata sebagai suatu kemuliaan Allah kepadanya.

3.Hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan bersifat tawadduk serta rendah diri akan diangkatkan darjatnya.

4.Islam menggalakkan umatnya sepaya rajin bersedekah. Bagi orang-orang yang kaya hendaklah membelanjakan hartanya ke jalan yang diredhai Allah dengan memberi sumbangan kepada golongan yang amat memerlukan. 

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Ciri-ciri Orang Munafik...

Munāfiq atau Munafik 
(kata nama, daripada bahasa Arab: منافق, jamak munāfiqūn) adalah terminologi dalam Islam yang merujuk kepada mereka yang berpura-pura mengikuti ajaran agama namun sebenarnya tidak mengakuinya dalam hatinya.

Terminologi munafik dalam Al Qur'an :-
Dalam Al Qur'an terminologi ini merujuk pada mereka yang tidak beriman namun berpura-pura beriman.

"Apabila orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. Mereka menjadikan sumpah sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka kerjakan. Yang demikian kerana mereka mengaku beriman kemudian mereka menjadi kafir, maka dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami."[Al Munafiquun:1-3]

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “.[Riwayat Ahmad]

Huraian :-

i) Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.

ii) Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan.

iii) Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.

iv) Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Ciri-ciri orang munafiq :-

1.Dusta
2.Khianat
3.Fujur dalam pertikaian
4.Ingkar janji
5.Malas beribadah
6.Riya'
7.Sedikit berzikir
8.Mempercepat solat
9.Mencela orang-orang yang taat dan soleh
10.Mengolok-olok al-Quran, as-Sunnah, dan Rasulullah s.a.w.
11.Bersumpah palsu
12.Enggan berinfak
13.Tidak menghiraukan nasib sesama kaum Muslimin
14.Suka menyebarkan khabar dusta, senang memperbesar peristiwa atau kejadian
15.Mengingkari takdir, selalu membantah dan tidak redha akan takdir Allah s.w.t.
16.Mencaci maki kehormatan orang-orang soleh
17.Sering meninggalkan solat berjamaah
18.Membuat kerusakan di muka bumi dengan dalih mengadakan perbaikan
19.Tidak sesuai antara zahir dengan batin secara zahir
20.Takut terhadap kejadian apa saja
21.Beruzur dengan dalih dusta
22.Menyuruh kemungkaran dan mencegah kemakrufan
23.Bakhil dalam masalah kebajikan
24.Lupa kepada Allah s.w.t.
25.Mendustakan janji Allah s.w.t. dan RasulNya
26.Lebih memperhatikan zahir, mengabaikan batin
27.Sombong dalam berbicara
28.Tidak memahami masalah-masalah agama
29.Bersembunyi dari manusia dan menentang Allah dengan perbuatan dosa
30.Senang melihat orang lain susah, susah bila melihat orang lain senang

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Kelebihan Sholat Berjemaah


Kelebihan Solat Berjamaah Dari Pandangan Seorang Bukan Islam Diceritakan bahawa seorang profesor dalam bidang fizik di sebuah universiti di Amerika Syarikat, telah membuat satu kajian tentang mengapa disyariatkan solat berjamaah di dalam Islam dan kelebihan solat berjamaah tersebut dalam kehidupan umat Islam. Menurut profesor itu, tubuh badan kita (manusia) terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan cas negatif. 

Dalam perjalanan hidup manusia setiap hari, semasa kita bekerja, beriadah atau berehat, kita banyak menggunakan tenaga dan dalam proses ini banyak berlaku pertukaran cas-cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidahseimbangan cas-cas tersebut di dalam tubuh badan kita. Ini menyebabkan kita merasa letih dan lesu apabila kita selesai menjalankan aktiviti-aktiviti harian kita. Cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita ke keadaan normal supaya kita kembali segar dan dapat menjalankan aktiviti-aktiviti lain tanpa gangguan.

Berbalik kepada kaitan solat berjamaah, timbul satu persoalan di minda profesor ini mengapa dalam Islam, disyariatkan, malah sehingga ke peringkat diwajibkan bersolat secara berjemaah, dan mengapa solat lima waktu yang didirikan oleh orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama ( Zohor - 4 rakaat, Asar - 4 rakaat, Maghrib - 3 rakaat, Isya - 4 rakaat, Subuh - 2 rakaat). Dari kacamata beliau, sebagai seorang bukan Islam yang mempunyai ilmu yang tinggi dalambidang berkaitan, beliau lalu menjalankan kajian tentang perkara ini dan mengaitkannya dengan aktivit-aktiviti harian kita yang memerlukan pemulihan cas-cas positif/negatif tadi. 

Pertama sekali beliau mengkaji kaitan jumlah rakaat dengan solat berjamaah dan fungsinya dalam pemyeimbangan cas-cas di dalam badan kita. Semasa kita melakukan solat berjamaah, kita disyariatkan supaya meluruskan dan merapatkan barisan (saf), bahu bertemu bahu dan tumit bertemu tumit. Dalam bergeseran tubuh kita dengan tubuh jamaah lain yang berada di kira dan kanan kita, tubuh kita mengeluarkan cas-cas yang berlebihan dan cas-cas ini akan ditarik oleh cas yang berlawanan dalam tubuh badan rakan kita. Jamaah lain juga akan mengeluarkan cas-cas dari tubuh badan mereka dan cas-cas ini akan ditarik oleh cas-cas yang berlawanan dari tubuh badan kita. Dengan ini berlakulah keseimbangan cas-cas positif/negatif. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh badan kita. 

Menurut beliau, dalam kehidupan seharian kita, apabila kita bangun dari tidur, badan kita merasa segar dan sihat setelah berihat selama beberapa jam (tidur). Dalam keadaan ini, tubuh badan kita mengandungi cas-cas positif/negatif yang hampir seimbang. Jadi, apabila kita mendirikan solat Subuh berjamaah, kita hanya memerlukan sedikit pertukaran cas-cas dari dan ke dalam tubuh badan kita. Sebab itu mengapa solat subuh itu hanya dua rakaat.

Seterusnya, setelah seharian kita bekerja bertungkus lumus, membanting tulang atau memerah otak, cas-cas ini tidak lagi seimbang dengan kehilangan banyak tenaga dari badan kita. Oleh itu kita memerlukan pertukaran cas-cas yang banyak dan solat berjamaah memainkan peranan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas ini. 

Oleh sebab itu solat Zohor (berjamaah) didirikan empat rakaat untuk memberi lebih masa kepada pemulihan cas-cas tadi.Proses yang sama berlaku pada sebelah petang, apabila kita juga mengeluarkan banyak tenaga menyambung tugas-tugas kita dan kita kehilangan banyak cas-cas ini. Sekali lagi proses penyeimbangan ini berlaku apabila kita mengerjakan solat Asar (berjamaah) sebanyak empat rakaat.

Selepas waktu Asar, setelah pulang dari kerja atau pada kebiasaannya, kita hanya melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak terlalu banyak menggunakan tenaga dan masa yang diperuntukan pula tidak terlalu lama. Oleh itu tidak terlalu banyak tenaga yang kita keluarkan. Seterusnya kita akan pergi ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib (berjamaah), banyak tiga rakaat. Pengurangan dalam rakaat ini berlaku kerana kita tidak kehilangan terlalu banyak tenaga dan penyeimbangan cas-cas ini berlaku dalam jangka masa yang agak kurang dari sebelumnya (Zohor dan Asar).

Seterusnya timbul persoalan di fikiran beliau tentang mengapa solat Isya mengandungi empat rakaat. Secara logiknya, kita tidak melakukan banyak aktiviti pada waktu malam dan tidak memerlukan pengumpulan cas-cas yang banyak untuk tidur. Setelah kajian beliau lakukan, terdapat hikmah di sebalik jumlah rakaat ini. Seperti yang sedia kita maklum, kita umat Islam sangat-sangat digalakkan supaya tidur pada awal waktu malam dan bangun semula di sepertiga malam untukmenunaikan solat-solat sunat, terutamanya solat sunat Tahajjud. 

Amalan solat malam ini menjadi kewajiban bagi Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda serta para alim ulama. Terlalu besar ganjaran dan kelebihan solat Tahajjud ini (tidak perlu diterangakn di sini). Jadi, dari fakta ini, dapat beliau simpulkan bahawa, solat Isya (berjamaah) sebanyak empat rakaat dapat menyediakan penyeimbangan cas-cas dan pengumpulan tenaga yang secukupnya untuk kita bangun pada waktu sepertiga malam untuk menunaikan solat Tahajjud dan berqiam menghambakan diri kepada kepada Allah di waktu yang serba dingin dan sunyi.

Dalam proses membuat kajian ini, beliau mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan segala amalan dan suruhan Allah Taala mempunyai hikmah yang tersirat dan tersurat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa besarnya pencipta segala yang ada di muka bumi ini dan betapa kerdilnya beliau. Pada waktu inilah, beliau telah diberi hidayah oleh Allah Taala untuk memeluk agama Islam. Subahanallah.

"Maha suci Engkau ya Allah, sesungguhnya tidak Engkau jadikan sesuatu itu 
sia-sia, maka peliharalah aku dari azab neraka", maksud firman Allah dalam surah Ali Imran.

Kesimpulan, hayati dan renungkan untuk kebaikan kita bersama.

Petikan dari Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Wanita Dan Hari Raya...

Dari Ummu Athiyyah ra., ia berkata:” Nabi saw. memerintahkan kami untuk membolehkan gadis-gadis dan gadis-gadis pingitan keluar rumah dan beliau memerintahkan para wanita yang sedang haid agar menjauhi tempat salat kaum muslimin. [Muslim]

Huraian :-

1.Pada Hari Raya disunatkan seluruh kaum muslimin beserta keluarganya untuk hadir di tempat solat. Manakala bagi wanita yang sedang haid yang tidak dapat mengerjakan solat, mereka hendaklah menjauhi tempat solat. Kedatangan tersebut ialah supaya sama–sama dapat menyaksikan kebaikan hari itu dan bersama mengaminkan doa dari kaum muslimin. 

2.Bagi wanita pula mereka hendaklah menjaga diri dan menjauhi dari perkara yang mendatangkan fitnah. Hal ini termasuk bersalaman dengan yang bukan mahram kerana sering terjadi, disebabkan alasan untuk bermaaf-maafan, seorang lelaki dapat menyalami (berjabat tangan) dengan wanita yang bukan mahram. Rasulullah SAW pernah bersabda : "Sesungguhnya aku tidak pernah bersalaman dengan wanita."

Petikan dari Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Hati Yang Selalu Muda..

Dari Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda.”[Muslim]

Huraian :-

Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda. Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, ’rumah kata pergi, kubur kata mari’, masih juga bergelumang dengan dosa. Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan. Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati.


Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan. Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.

Petikan dari Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Manusia Tidak Lepas Bebas Daripada Syaitan



Dari Aisyah r.a, isteri Rasulullah s.a.w, dia menceritakan bahawa pada suatu malam rasulullah s.a.w pergi dari rumahnya (dari rumah Aisyah). Kata Aisyah:’Kerana itu aku cemburu kepada beliau. Setelah beliau kembali, dia memperhatikan tingkahlaku ku dan baginda bertanya:”Mengapa engkau hai Aisyah, cemburukah?” jawabku:”Bagaimana wanita seperti aku tidak akan cemburu terhadap lelaki seperti anda? Tanya baginda:”Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?” Jawab Aisyah:”Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?” Jawab baginda :”Ya!” Aku bertanya:”Aku sendiri juga?” Jawab baginda:”Ya! Tapi aku dilindungi Tuhanku sehingga aku selamat.” [Muslim]

Huraian :-

Pendekatan tipu daya syaitan adalah pelbagai. Ini bergantung kepada jenis manusia yang mereka dekati. Mereka membelit orang berilmu melalui ilmunya, sedangkan ahli ibadat dihasut dengan amalnya. Orang yang kaya dirosakkan dengan harta bendanya, sedangkan orang yang miskin lebih dekat dengan kekufuran disebabkan kesusahan yang dialaminya. Hadith di atas menerangkan bahawa setinggi mana pun ilmu dan sebanyak mana pun amalan yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat menjamin sepenuhnya bahawa ia akan selamat daripada tipu daya syaitan. Oleh itu Rasulullah s.a.w menasihatkan kita supaya lebih bersabar dan bermujahadah melawan godaan syaitan laknatullah.

Petikan dari Jom Berdakwah Di FB

Sabtu, 12 November 2011

Benda PERCUMA pun kekadang tak SEDAP ?

Pabila bende free dipolitikkan... benda yang sedap pun jadi tawar... niat yang baik dipandang hina... apa nak jadi dengan negaraku yang terchenta nih... serabut weiii !!!