Ahad, 20 November 2011

Tazkirah SEDAP ~ Larangan Bunuh-membunuh Tanpa Hak

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Apabila dua orang muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka?” Jawab baginda, kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]






Huraian :-

i)Niat menjadi ukuran amalan atau perbuatan manusia sehingga orang yang membunuh (tanpa hak) dan terbunuh sekalipun dikira sebagai berdosa jika dia juga mempunyai niat untuk membunuh lawannya.

ii)Dosa membunuh termasuk dalam dosa-dosa besar. Ia hanya akan terhapus dengan bertaubat nasuha kepada Allah.

iii)Islam amat menghormati nilai-nilai akhlak. Dalam Islam terdapat nilai-nilai yang tidak dapat diganggu gugat dan bersifat kekal. Oleh itu jika dengan alasan kebebasan kita menganggap boleh melanggar norma-norma akhlak maka ia akan membahayakan keadaan dan seluruh umat manusia. Oleh itu al-Quran meletakkan pembunuhan terhadap manusia laksana pembunuhan terhadap seluruh umat manusia sebagaimana firman Allah maksudnya "Sesiapa yang membunuh seseorang bukan kerana hukuman atasnya kerana telah membunuh orang lain atau kerana telah melakukan kerosakan di muka bumi, maka sesungguhnya ia telah membunuh semua manusia"
[Al-Nisa’:32]

iv)Setiap daripada kita dilarang daripada melanggar kehormatan dan martabat manusia lain dalam erti kata kita bertanggungjawab menjaga nyawa. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu kerana sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.”
[Al-Isra’: 33]

v)Allah bukan sahaja mengharamkan perbuatan membunuh orang lain tetapi juga mengharamkan juga perbuatan membunuh diri sendiri. Lebih jauh dari itu Islam juga mengharamkan perbuatan mencederakan orang lain atau mencederakan diri sendiri yang mana Allah memberikan jalan penyelesaiannya dengan Hukum Qisas. Oleh yang demikian peranan anggota keselamatan dalam memastikan keselamatan nyawa dan jiwa dalam masyarakat adalah amat penting.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Fitnah Terbesar


Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita” [Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah]

Huraian :-
1.Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.

2.Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.

3.Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.

4.Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Iman Dan Amal Adalah Dua Perkara Yang Seiring


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Iman dan amal adalah dua perkara yang seiring.”
[Riwayat Al-Hakim]

Huraian :-

i)Iman mengikut pengertian syarak adalah keyakinan yang teguh dalam hati, mengakui dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota. Inilah yang dinamakan ketaatan, amal yang soleh dan perlakuan yang baik.

ii)Seorang yang benar-benar beriman adalah mereka yang zahirnya sama dengan batinnya, mereka benar dalam keimanan dan ikhlas dalam melakukan amalan. Merekalah golongan ‘as-Sodiqun’ yang diperintah oleh Allah S.W.T agar kita sentiasa mendampingi mereka (bersahabat dengan mereka).

iii)Oleh sebab tingginya kedudukan iman maka Allah S.W.T telah menjadikan iman itu sebagai syarat asas penerimaan terhadap sesuatu amalan yang dilakukan di mana tidak akan ada satu amalan pun yang akan diterima oleh Allah melainkan setelah ada iman di dalam diri pelakunya.

iv)Sesiapa yang mendakwa beriman dengan lidahnya tetapi iman itu tidak meresap ke dalam hatinya maka dia merupakan orang yang munafiq. Ciri-ciri munafiq itu ialah kata-katanya bercanggah dengan perbuatannya dan amalannya ketika di khalayak ramai dan ketika dia bersendirian serta apa yang dizahirkannya adalah berbeza dengan apa yang disembunyikannya.

v)Iman dan amal soleh adalah seiring. Iman tidak akan sempurna tanpa amal soleh di mana Allah telah menyebutkan perkara ini sebanyak 60 kali di dalam al-Quran.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Berpada-padalah Apabila Bergurau

Dari Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w bersabda “Seseorang mukmin belum sempurna imannya hinggalah ia meninggalkan dusta ketika bergurau dan meninggalkan bertengkar sekalipun benar.”
[Ahmad dan at-Tabrani]

Huraian :-
1.Bergurau janganlah melampaui batas kesopanan hingga menyakiti atau menghina sehingga menyebabkan dukacita dan sebagainya.

2.Banyak bergurau boleh menyebabkan hati seseorang mati dan mengurangkan kehebatan bahkan bergurau dengan cara mengolok-olok, mengumpat, menghina, menjatuhkan maruah boleh mendatangkan dosa sama ada orang yang melakukannya itu menyedarinya ataupun tidak.

3.Selaku seorang Islam kita haruslah berlapang dada (toleransi) dalam menghadapi perbedaan pendapat di mana Islam melarang kita bertengkar hingga menyebabkan timbulnya pertikaian dan saling berhujjah, mengkafirkan atau menganggap yang lain halal darahnya (bunuh-membunuh).

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Hakikat Kebijaksanaan

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah.”
[Riwayat at-Tirmidzi]





Huraian

1.Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing.

2.Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” (al-Anbia’: 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.

3.Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam.

4.Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Solat Sunat

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”: Sesungguhnya tidak ada suatu solat sunat pun yang begitu dijaga oleh baginda daripada solat dua rakaat sebelum subuh..”
[Riwayat Muslim]

Huraian
i)Solat dari segi bahasa ertinya doa. Dari segi syarak pula ia bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat yang tertentu.

ii)Sunat Rawatib ialah solat sunat yang mengiringi solat fardhu. Terdapat dua jenis sunat rawatibiaitu : Sunat "Qabliyah" iaitu solat rawatib yang dikerjakan sebelum solat wajib, dan waktu-waktunya ialah: 2 rakaat sebelum solat Subuh, 2 rakaat sebelum solat Zuhur, 2 atau 4 rakaat sebelum solat Asar, dan 2 rakaat sebelum solat Isya'; dan Sunat "Ba’diyyah" iaitu solat rawatib yang dikerjakan setelah solat fardhu, dan waktu-waktunya ialah: 2 atau 4 rakaat sesudah solat Zuhur, 2 rakaat sesudah solat Maghrib dan 2 rakaat sesudah solat Isya'.

iii)Solat sunat boleh didirikan dimana-mana sahaja asalkan tempat tersebut suci menurut syarak dan dilakukan dengan mengadap kiblat. Tetapi tempat yang lebih afdhal untuk mengerjakan solat sunat (kecuali solat tahiyatul masjid) ialah dirumah sendiri. Antara hikmahnya ialah supaya seseorang ketua keluarga itu boleh mengajak semua ahli keluarganya beribadah di samping boleh mengelak daripada sifat riya' (menunjuk-nunjuk) atau ujub.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Tanggungjawab Sosial

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya."[Abu Daud dan at-Tirmidzi]

Huraian:-

1.Seorang muslim mukmin yang sebenar sepatutnya menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan mungkar serta mencegahnya, bukan terus duduk bersama orang yang berbuat maksiat kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka redha dengan maksiat dan kekufuran yang dilakukan.

2.Membiarkan perlakuan maksiat merupakan satu maksiat (dosa). Perbuatan ini akan mengundang bala daripada Allah SWT yang akan menimpa bukan sahaja ke atas pelaku maksiat semata tetapi terhadap semua anggota masyarakat.

3.Menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan adalah satu bentuk tanggungjawab sosial. Ini bukanlah untuk menjaga hal ehwal (tepi kain) orang lain melainkan untuk memelihara kepentingan bersama kerana keharmonian dan ketenteraman dalam masyarakat hakikatnya dapat menjamin kehidupan yang aman dan damai bagi seluruh penduduk sekitarnya.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Malaikat Pencatat Selawat


Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang melakukan dua atau lebih dari jenis-jenis amal kebajikan untuk mencapai keredhaan Allah, ia akan diseru oleh Malaikat dari pintu-pintu Syurga, katanya: "Wahai Hamba Allah! Pintu ini lebih baik bagimu memasukinya! Maka sesiapa yang membanyakkan jenis sembahyang: ia tetap diseru dari pintu sembahyang, dan sesiapa yang membanyakkan jenis perjuangan: ia tetap diseru dari pintu perjuangan, dan sesiapa yang membanyakkan jenis puasa: ia tetap diseru dari pintu puasa yang bernama: Rayyan, dan sesiapa yang membanyakkan jenis sedekah: ia tetap diseru dari pintu sedekah." Mendengarkan yang demikian, Abu Bakar r.a berkata: "Ayah dan ibuku menjadi galang gantimu Ya Rasulullah (dalam saat kecemasan)! Tiadaklah menjadi sebarang kesusahan kepada orang yang dijemput masuk dari setiap pintu itu bahkan satu kemuliaan kepadanya, maka adakah sesiapa yang dijemput masuk dari semua pintu itu?" Nabi s.a.w menjawab: "Ia ada! Dan aku harap engkau seorang dari mereka yang berbahagia itu."[Abu Hurairah r.a]

Huraian :-
i) Setiap amal kebajikan yang dilakukan oleh orang-orang mukmin akan dibalas oleh Allah S.W.T dengan ganjaran yang setimpal sekalipun amalan itu Cuma sekecil zarah.

ii) Di hari akhirat kelak, bagi orang yang membanyakkan ‘jenis’ amal kebajikannya, para malaikat syurga akan memberikan kemuliaan dan penghormatan yang tinggi kepada mereka sehingga masing-masing berebut-rebut menjemputnya masuk melalui pintu yang dijaganya.

iii) Sebaik-baik amal adalah yang disertai dengan hati yang ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T bukanlah untuk menunjuk-nunjuk (riya’) dan sebagainya kerana hal ini amat dibenci oleh Allah.

iv) Di samping melakukan ibadah wajib kita juga digalakkan mempelbagaikan amalan sunat kerana yang demikian itu boleh menguatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Beradab Ketika Minum


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jangan kamu minum sekaligus seperti binatang ternakan minum, tetapi minumlah dua kali atau tiga kali, membaca bismillah bila mula minum dan membaca alhamdulillah sesudah selesai.”
[At-Tirmidzi]

Huraian :-

1.Islam mementingkan adab dan sopan dalam segala perkara termasuklah makan dan minum.

2.Ketika makan kita ditegah daripada gelojoh begitu juga ketika minum hendaklah minum dengan perlahan dan jangan bernafas dalam bekas minuman serta dilarang juga minum sambil berdiri. Semua ini kerana mengambilkira faktor kesihatan dan kebersihan disamping dapat mencerminkan tatatertib yang sopan bagi seorang Islam.

3.Mengecap rezeki yang dimakan atau diminum sebaik-baiknya ialah dengan membaca bismillah sebagai memuji Allah S.W.T yang mengurniakan rezeki dan mengucapkan alhamdulillah sebagai mensyukuri nikmat yang telah diberikan itu. 

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Jauhi Fitnah


Dari Zainab ats-Thaqafiy r.a katanya:’Apabila kamu (para wanita) mengikuti solat Isya’ berjamaah di masjid, maka janganlah memakai harum-haruman ketika itu.” [Muslim]

Huraian :-

Berbanding lelaki, aurat wanita lebih sukar dijaga. Ini kerana lelaki boleh menunaikan solat dengan hanya berkain pelikat kerana auratnya setakat antara lutut hingga ke pusat. Tetapi, aurat wanita meliputi pelbagai anggota badan daripada kaki hingga rambut. Tarikan nafsu bukan sahaja daripada cara seseorang itu berpakaian malah peranan minyak wangi atau haruman yang dipakai juga boleh menimbulkan ransangan lelaki terhadap seseorang wanita. 

Oleh itu Islam mengharamkan para wanita memakai wangian yang semerbak baunya sehingga dapat membangkitkan syahwat dan menarik perhatian lelaki sehingga menimbulkan fitnah sekalipun dalam konteks hendak mengerjakan ibadah seperti memakai haruman ketika hendak mengerjakan solat berjamaah yang terdapat lelaki bukan muhrim bersama-sama mengerjakan solat. 

Kesimpulannya, Islam membolehkan seorang perempuan muslimah itu keluar rumah untuk pergi bersembahyang, mencari ilmu, melaksanakan keperluan dan sebagainya tetapi dengan syarat perempuan itu dapat menjaga maruahnya dan adab kesopanan yang telah digariskan oleh Islam agar dengan itu mereka terhindar daripada fitnah mahupun mara bahaya dan bencana yang menimpa seperti jenayah rogol, khianat dan seumpamanya.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB