Ahad, 27 November 2011

Tazkirah SEDAP ~ Air Mata Nabi Adam

Tahukah saudara semenjak Nabi Adam terkeluar dari syurga akibat tipu daya iblis, beliau menangis selama 300 tahun. Nabi Adam tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah swt.

Beliau sujud di atas gunung selama seratus tahun. Kemudian menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip. Dari air mata Nabi Adamitu Allah tumbuhkan pohon kayu manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata beliau. 

Burung itu berkata, "Sedap sungguh air ini."Nabi Adam terdengar kata-kata burung tersebut. Beliau menyangka burung itu sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepada Allah. Ini membuatkan Nabi Adam semakin hebat menangis. 

Akhirnya Allah telah menyampaikan wahyu yang bermaksud, "Hai Adam, sesungguhnya aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dan hebat dari air mata taubatmu itu."

Pasti Ada Yang Meragui Cerita Diatas.. Jom Kita Kaji Mengenai Kisah Tersebut...

Saya ada menerima e mail yang menerangkan tentang airmata Nabi Adam `alaihis salam. Ramai orang yang percaya kepada cerita-cerita seperti ini kerana ianya disebut dalam buku-buku agama. Mungkin orang ini membaca dari kitab yang dibeli dikedai buku agama. Pengarang buku itu pula mungkin mengambilnya dari kitab lain, antaranya dari kitab Kuning ( kitab jawi klasik).

Setelah menerima mesej begitu maka saya pun mula membuka kitab-kitab jawi koleksi saya dan akhirnya saya menemuinya dalam sebuah kitab kuning yang berjudul “ Jam`ul Fawaaid”, muka surat 255 , cetakan matba`ah Bin Halabi, Patani, Thailand.

Dibawah ini saya salinkan untuk anda semua :

“ Maka pertama orang yang menangis daripada makhluq Adam `alaihis salaam tatkala turun daripada syurga kepada bumi maka menangis tiga ratus tahun dan tiada mengakatkan kepadanya kepada langit kemudian daripada yang demikian itu malu daripada ALLAH Ta`ala dan sujud ia satu sujud diatas bukit Hindi seratus tahun menangis ia hingga keluar matanya pada bukit serindib maka ditambahkan ALLAH pada demikian bukit itu daripada air mata Dardhi dan Qoronful dan jadilah burung demikian bukit dan meminum sekali burung pada satu hari akan air matanya Adam `alaihis salaam dan berkata ia meminum akan air laut dan air didarat dan air hujan dan tiada kami meminum akan minuman yang terlebih manis daripada air ini maka menyangka Adam bahawasanya segala burang mempersenda-senda akan dia maka sembah Adam hai TUHAN ku telah kau kerasi atasku segala burung mampersenda- sendakan daku sebab aku mengena maksiat akan dikau maka mewahyu Adam bahawasanya tiada aku jadikan minumannya yang terlabih lazat daripada air mata orang yang berdosa “.

Maksudnya setelah saya edit :

Orang yang pertama menangis dari kalangan makhluq ialah Nabi Adam `alaihis salaam ketika turun dari syurga ke bumi. Nabi Adam `alaihis salam menangis selama 300 tahun dan setelah itu dia tidak pernah mendongak kepalanya ke langit kerana malu kepada ALLAH Ta`ala. Nabi Adam `alaihis salam juga bersujud dengan satu kali sujud diatas bukit Hindi selama 100 tahun. Air mata Nabi Adam `alaihis salam membasahi bukit Serindib sehingga ALLAH jadikan dari air matanya itu Dardhi dan Qoronful (bunga cengkih) dan burung di bukit itu menjadi Towawis ( burung merak ).

Pada suatu hari semua burung meminum air mata Nabi Adam `alaihis salaam lalu berkata :

“ Kami sudah minum air laut, air di daratan dan air hujan tetapi kami belum pernah merasai air yang terlebih manis daripada air ini . Apabila Nabi Adam `alaihis salam mendengar percakapan burung-burung itu maka dia menyangka bahawa burung-burung itu mempersenda-sendakannya ( memperlinya) lalu dia mengadu kepada ALLAH, ujarnya : “ Wahai TUHAN ku ! Engkau telah menjadikan semua burung mampersenda-sendakan daku kerana aku telah melakukan maksiat kepada MU (dengan memakan buah yang dilarang). ALLAH mewahyukan kepada Nabi Adam dengan firman NYA : “ AKU tidak jadikan minuman yang terlebih lazat daripada air mata orang yang berdosa..

Adapun kalimah “Dardhi “ , saya tak pasti apakah maksudnya . namun begitu saya rasa sejenis rempah juga seperti bunga cengkih. 

Pengarang kitab ini , iaitu Al marhum Shwikh Daud Al fatani tidak menyatakan dari mana cerita berkaitan dengan berkaitan air mata Nabi Adam `alaihis salam ini .

Sewaktu saya belajar di sekolah pondok dahulu pada tahun-tahun 70an , saya memang mempercayai cerita-cerita pelik seperti ini (banyak lagi cerita pelik yang saya tidak nyatakan disini). Oleh itu maka tidak hairanlah ramai guru-guru agama yang menerima pendidikan di pondok menceritakan cerita-cerita pelik seperti ini dan akibatnya ramailah juga orang yang mempercayainya kerana diceritakan oleh guru-guru agama. Mustahil mereka menipu atau mereka-rekakan cerita atau ianya hanyalah dongeng.

Memang guru-guru agama ini tidak menipu kerana mereka bercerita bersumberkan kitab ini atau kitab-kitab yang seumpamanya seperti kitab “ Qasosul Anbia` “.

Namun begitu yang silapnya mereka tidak menyatakan bahawa “ Tersebut dalam kitab sekian sekian cerita berkaitan denagn air mata Nabi Adam “.

Apabila mereka tidak menerangkan begini maka ramai juga orang yang menganggap bahawa cerita itu cerita yang benar bersumber dari hadith Nabi.

Mereka tidak menyatakan seperti ini kerana 2 sebab:

Mungkin mereka juga percaya bulat-bulat kerana mereka menyangka semua yang tercatit dalam kitab adalah benar lebih-lebih lagi ianya dikarang oleh `alim besar.Oleh itu mereka mesti menyampaikannya kepada orang ramai.sebab itu tidak mustahil kalau ada antara mereka yang berkata : Kalau tak percaya kepada kitab hukumnya kafir. Kata-kata seperti ini adalah salah kerana perkataan ‘ kitab ‘ yang disebut itu bukan merujuk kepada al Quran tetapi merujuk kepada kitab yang ditulis oleh ulama.

Mungkin mereka tidak tahu bagaimana nak merujuk kepada hadith-hadith sahih atau dhaif kerana mereka tidak mendalaminya atau mereka hanya pandai membaca kitab jawi sahaja dan tidak lancar membaca kitab yang berbahasa `Arab sedanglkan ilmu yang berkaitan dengan hadith tak banyak ditulis dalam bahasa melayu.

Untuk pengetahuan semua, banyak cerita-cerita yang pelik sebenarnya diambil dari riwayat ‘Israiiliyyat” iaitu diambil dari kitab Taurat (Old Testament).Untuk keterangan lanjut sila lihat tajuk khusus berkenaannya dibawah.

Pengarang kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab agama memasukkan cerita-cerita ini didalam kitab tafsir mereka. Oleh itu sekiranya kita baca kitab-kitab tafsir yang memuatkan cerita-cerita pelik ini maka ada diantara kita yang menyangka cerita-cerita ini sebahagian dari tafsir al Quran.

Kerana itu , sekiranya kita membaca kitab tafsir maka hendaklah kita teliti , sebagai contoh dalam kitab tafsir Al Baidhawi . Kitab Tafsir al Baidhawi ini sangat popular di kalangan pelajar sekolah pondok di Malaysia dan pesantren di Indonesia . kitab ini berasal dari bahasa Arab dan telah diterjemahkan oleh al marhum Sheikh Abdul Rauf bin Ali al Fansuri al Singkili atau Sheikh Abdurrauf kuala, salah seorang ulama besar Acheh. Tidak diketahui tarikh lahirnya tetapi kitab ini dicetak buat pertama kali di Istanbul (Turki) pada tahun 1302 H (1884 M). Kitab yang ada ditangan saya ialah dicetak di percetakan Sulaiman Mar`ii tahun 1951 dan saya mempelajarinya sewaktu menuntut dipondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan ( sila lihat laman web http://www.pondoksgdurian.com/ )

Sheikh Abdul Rauf ini merupakan seorang tokoh agama, ahli tasawuf, negarawan dan karyawan. Beliau dilahirkan di Singkel, utara Fansur (Pantai Barat Sumatera). Mengenai tarikh kelahiran beliau tersebut, terdapat beberapa riwayat yang berbeza. Ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1001H/1592M, ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada 1024H/1615M, dan ada yang menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1029H/1620M. Bagaimanapun, tiada percanggahan tentang tarikh wafatnya iaitu beliau meninggal dunia pada tahun 1106H/1695M di Kuala Sungai Aceh (Mahayuddin 1986: 44).

Sebagai penulis tafsir paling awal di Nusantara, karya beliau tersebar ke seluruh wilayah Melayu-Indonesia.

Didalam kitab tafsir al Baidhawi ini disebut cerita tentang 2 Malaikat “ Harut dan Marut “. Namun begitu pengarang kitab Tafsir ini menyebut : “ kata pengarang tafsir ath Tha`labi bahawa Malaikat Harut dan Marut …….. “

Apa yang kita faham dari kata pengarangnya : “ diceritakan “ . Ini bermakna bukannya diambil dari hadith Nabi tetapi dari sumber lain.

Namun begitu ramai guru agama apabila menafsirkan ayat –ayat ini (kisah ini disebut dalam suratul Bqaqarah ayat 101) , terus sahaja menceritakan tentang 2 malaikat ini dan mereka tidak menyatakan : “ diceritakan bahawa …… “ atau “ mengikut ceritanya bahawa ….. “ .

Oleh kerana mereka tidak menyebut seperti ini maka pendengar ceramah akan menyangka itu adalah cerita yang benar sedangkan cerita itu adalah dari kisah “ Israaiiliyyah “.

PENGARUH ISRAIILIYYAT KE ATAS KITAB TAFSIR

Kemasukan Israiliyyat ke dalam tafsir bermula dengan kemasukan thaqafah (peradaban) Bani Israil (yang berhijrah ke Semenanjung `Arab) ke dalam thaqafah Arabiyyah di zaman Jahiliyyah. Bangsa Yahudi ini membawa bersama-sama mereka ilmu-ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka, dan segala perkara yang berkaitan dengannya daripada huraian-huraian, dan juga yang mereka warisi daripada satu generasi ke satu generasi daripada nabi-nabi mereka dan pendita-pendita mereka. Mereka mempunyai tempat yang dinamakan al-midras iaitu sekolah-sekolah tempat mereka mempelajari setiap perkara yang diwarisi. Mereka juga mempunyai tempat-tempat ibadah dan syiar agama mereka. 

Kemudian, datang ajaran Islam dan kitab ALLAH yang terkandung di dalamnya ilmu dan agama. Seruan Islam lahir dan tersebar di kalangan penduduk Semenanjung Arab. Pada zaman Rasulullah Sallallaahu`alaihi wasallam pusat negara Islam adalah al Madinatul Munawwarah. Untuk mendidik para sahabat, majlis-majlis ilmu pada zaman Rasulullah Sallallaahu`alaihi wasallam ini dilakukan di Masjid Madinah. Di kota Madinah dan di sekitarnya tinggal bermuqim beberapa golongan Yahudi seperti Bani Qainuqa’,Bani Quraizah, Bani Nadhir, Yahudi Khaibar, Taima’dan Fadak.

Terdapat di kalangan ulama Yahudi atau ahli Kitab di Madinah yang memeluk Islam seperti Abdullah bin Salam Radhiallaahu `anhu. Beliau dan orang sepertinya menjadi tempat rujukan sahabat untuk bertanya secara terperinci tentang kisah-kisah yang sama yang juga disebut di dalam al Quran dan Taurat. Namun begitu

para sahabat Radhiallaahu `anhum tidak menerima bulat-bulat apa yang diceritakan kepada mereka. Malah mereka menapisnya dengan akal dan juga syara`. Mereka hanya menerima apa yang diterima oleh akal dan syara` dan menolak sekiranya bercanggah dengan keduanya. Seterusnya mereka berdiam diri terhadap perkara-perkara yang tidakjelas tentang benar dan salahnya.

Ibnu Khaldun (1968, 1: 786-787) menyatakan apabila timbul keinginan di kalangan orang-orang Arab untuk mengetahui tentang permulaan kejadian makhluq dan rahsia kejadian, mereka cenderung bertanya ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Majoriti mereka adalah dari suku bangsa Humair.Apabila mereka memeluk Islam, pengaruh daripada ajaran agama mereka yang berkaitan dengan asal kejadian makhluq, cerita-cerita tentang peperangan dan sebagainya masih kuat dalam diri mereka. Antara golongan mereka ialah Ka’abul Akhbar, Wahab bin Munabbih, dan Abdullah bin Salam. Radhiallaahu `anhum. Kerana inilah cerita-cerita Israiiliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir dipenuhi dengan riwayat-riwayat daripada mereka.

Banyak lagi cerita-cerita lain yang dimuatkan dalam kitab-kitab tafsir yang saya tidak sentuh disini seperti cerita Nabi Ayyub sakit sehingga tinggal lidah dan hati, Nabi Daud yang merampas isteri orang, cerita ular yang menolong Iblis masuk ke syurga untuk menipu Nabi Adam dan Hawwa`, kisah Talut dan Jalut (al Baqarah 2: 248), Kisah Nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis, Kisah Nabi Syu’aib dan Nabi Musa dan lain-lain lagi.

Cukuplah sekadar beberapa contoh yang saya paparkan disini sekadar peringatan kepada kita sesama umat Islam. Saya harap penerangan ini bermanfaat kepada diri saya dan anda semua. WALLAAHU `AA`LAM

Sumber : http://almadanii.multiply.com/journal/item/18

Jika Ada Yang Masih Ragu.. Diminta Ke Link Web Diatas Untuk Bertanya Lebih Lanjut.. Artikel Ini Dipost Di Wall Pages Ini Untuk Dikongsi Bersama. Pendapat Dan Teguran Anda Amat Dialu-alukan...

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Macam-macam Ragam Berdakwah


Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ 10 Jenis Gangguan Syaitan Ketika Sholat

1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratulihram

Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.

Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.

Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat

Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.

“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah kekiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).


3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan

Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat,syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan

Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yangbermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.

Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi danjika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.

Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orangitu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).


5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat

Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.

Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.

Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud(thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (HadisRiwayat Bukhari dan Muslim).

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu

Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.

“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat

Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat kekiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu,selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

8) Menguap dan mengantuk

Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.”(Hadis Riwayat Thabrani). Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya(menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Bersin berulang kali ketika solat

Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).

Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”

10) Terasa ingin buang angin atau buang air

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (HadisRiwayat Muslim).

Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ SEDAP kah Lemak Babi ?

MENGAPA PENGGUNAAN LEMAK BABI (PIG FAT) TIDAK DIBERITAHU KEPADA PENGGUNA TETAPI HANYA KOD (E) DICETAK?


Hampir semua negara-negara barat termasuk Eropah memilih daging babi sebagai daging utama. Oleh itu terdapat banyak ladang babi dibina di negara-negara ini untuk berkembang biak haiwan ini. Contohnya di Perancis sahaja, ladang ternakan babi melebihi 42,000 buah ladang. Babi adalah haiwan yang memiliki jumlah tertinggi kandungan lemak (FAT) dalam tubuh mereka berbanding dengan haiwan lain. Oleh itu, negara Eropah dan Amerika telah berusaha untuk menyekat dan menghindari lemak ini dari digunakan oleh penduduknya.

Susulan daripada tindakan tersebut, timbul persoalan sekarang di kotak fikiran kita, ke MANA lemak ini pergi? Ini kerana semua babi yang disembelih di rumah penyembelihan haiwan adalah di bawah kawalan Jabatan Makanan di negara masing-masing. Oleh itu timbul permasalahan kepada Jabatan ini untuk membuang lemak babi tersebut di lokasi mana?

Kronologi Perkembangan Lemak Babi

Sekitar tahun 60’an, lemak ini tiada nilai dan sisa bahan ini telah dibakar. Tetapi hasil kajian saintifik yang dijalankan didapati, bahan ini telah dimanfaatkan dalam pembuatan sabun dan ternyata ianya berhasil. Berikutan kejayaan mereka mewujudkan hasil baru bagi kegunaan “household” maka satu rangkaian industri penuh terbentuk dan lemak (FAT) ini telah diolah kandungan kimia, dibungkus dan dipasarkan. Manakala syarikat perkilangan lain membelinya. Sementara itu, pada masa yang sama semua Negara Eropah telah membuat peraturan bahawa setiap barangan makanan, perubatan dan produk personal higiene mesti mempunyai kandungan bahan ramuan yang disenaraikan di plastiknya. Jadi, bahan ini dikategorikan sebagai PIG FAT.

Bagi mereka yang telah menetap lama di Eropah melebihi 40 tahun pastinya amat arif dan tahu tentang hal ini. Akibat daripada penggunaan bahan ramuan ini semua produk berasaskan lemak babi telah diharamkan jualannya di NEGARA ISLAM. Tindakan ini mengakibatkan defisit perdagangan kepada Negara Eropah.

Menyorot kembali semasa zaman penjajahan di Asia Tenggara, kita mungkin tahu tentang faktor-faktor yang menjadi provokasi dari PERANG SIVIL pada tahun 1857. Pada masa itu, peluru senapang (Rifle Bullets) dibuat di Eropah dan diangkut ke sub-benua melalui jalan laut. Keadaan ini memerlukan waktu berbulan-bulan untuk tiba ke destinasi. Keadaan ini telah menyebabkan serbuk pistol rosak kerana terdedah kepada air laut.

Untuk menyelesaikan masalah ini maka satu lapisan lemak babi telah disalut pada peluru tersebut bagi mengelak berlakunya kerosakan. Apabila peluru ini hendak digunakan, lapisan pada peluru ini perlu dikoyak menggunakan gigi. Oleh kerana pada masa tersebut kebanyakkan tentera adalah beragama Islam dan Hindu, berita ini telah tersebar luas maka ia telah menyebabkan ramai tentera menolak untuk turut serta berperang.

Berikutan daripada timbulnya masalah ini maka Negara-negara Barat mula menggantikan perkataan lemak babi (PIG FAT) kepada lemak binatang (ANIMAL FAT) pada bungkusan barangan tersebut. Perkara ini mula dilaksanakan oleh Eropah sejak tahun 1970-an. Apabila syarikat pengeluar ini diminta menyatakan jenis lemak yang digunakan oleh pihak berkuasa dari NEGARA ISLAM, mereka membuat akuan bahawa ia adalah lemak lembu atau kambing. Di sini sekali lagi soalan diajukan kepada pengeluar tersebut, adakah lembu dan kambing itu disembelih mengikut kaedah HUKUM SYARAK? Jika tidak, ia adalah HARAM dan barangan tersebut pasti akan diharamkan untuk diedarkan di dalam NEGARA ISLAM.

Kesan daripada tindakan pengharaman ini, syarikat-syarikat multinasional dari NEGARA BARAT telah menghadapi penyusutan keuntungan yang tinggi 75% dari pendapatan mereka hasil jualan barang-barang mereka yang dianggarkan berbilion-bilion dolar hasil keuntungan daripada eksport mereka ke DUNIA MUSLIM.

Sistem E-CODES

Akhirnya mereka telah memperkenalkan BAHASA CODING di mana hanya Jabatan Pentadbiran Makanan sahaja yang tahu apakah senarai ramuan yang mereka gunakan dalam semua produk makanan, perubatan dan personal. Secara tidak langsung tindakan memperkenalkan sistem E-CODES atau E-INGREDIENTS ini telah menjadi tanya tanya kepada pengguna berkaitan status halal produk tersebut. Ia secara tidak langsung membuktikan MUSLIHAT dan NIAT jahat Negara Barat yang sengaja tidak menghormati kesucian dan kepercayaan agama Islam.

Penggunaan sistem ini telah digunapakai oleh kebanyakkan produk-produk daripada syarikat multinasional seperti ubat gigi, sabun, gula-gula getah, coklat, gula-gula, biskut dan makanan tin. Selain itu, ubat multi-vitamin yang digunakan di semua Negara Islam juga didapati mempunyai unsur-unsur syubahah dan tidak mengambilkira sensiviti pengganut Islam.

Oleh itu, semua orang Islam atau Hindu (Vegetarians) diminta untuk menyemak bahan-bahan ramuan dari ITEM penggunaan barangan harian berdasarkan kepada sistem E-CODE. Jika hasil semakan mendapati terdapat salah satu daripada bahan yang disenaraikan di bawah ini ditemui, pihak tuan dan puan mestilah cuba untuk mengelaknya. Ini kerana bahan-bahan yang digunakan adalah berasal daripada lemak babi (PIG FAT) seperti senarai di dalam gambar.

Dr. M. Amjad Khan
Medical Research Institute
United States

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Tanda tanda Hati Kita Keras


Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan. Ia juga adalah tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil serta ketenangan dan kebimbangan.

Hati merupakan sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1.Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan.

Terutamanya malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunat. Allah telah menyifatkan kaum munafik dalam firman-Nya yang bermaksud;

"Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." [Surah At-Taubah:54]

2.Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran.

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali. Mereka juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberikan peringatan;

"Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku." [Surah Al-Qaf, ayat 45]

3.Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat.

Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego, individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4.Kurang mengagungkan Allah.

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Tepuklah dada, tanyalah iman. Semoga hati kita sentiasa segar mengingati dan mensyukuri nikmat Allah yang Maha Esa.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Haram Wanita Memakai Gelang Kaki Berloceng

Setiap Muslim dan Muslimah hendaklah menjaga tata cara pergaulan dan pemakaian apabila berhubung dengan bukan mahram seperti di tempat kerja.

Paling utama dalam hal pemakaian kerana cara berpakaian dapat menarik perhatian orang lain yang bukan mahram. Memakai gelang kaki bagi wanita Islam dengan bunyi loceng itu terlalu kuat sehingga menarik perhatian rakan sekerja yang lain untuk berpaling melihat ke arahnya dikira bercanggah dengan tata cara pemakaian dan pergaulan seorang wanita Muslimah dan Mukminah.

Itu sebabnya ia dihukum haram apabila bertujuan sedemikian dan pemakaian hiasan sedemikian perlu dielakkan. Ini jelas apabila al-Quran menggariskan berkenaan tatacara bergaul dan berpakaian seorang wanita Islam iaitu :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur (24): 31)

Dalam ayat ini, kita boleh simpulkan termasuk dalam ‘menghentak kaki’ ialah memakai gelang berloceng dan memakai kasut bertumit keras sehingga mengeluarkan bunyi.

Islam melarang perbuatan itu kerana ia menarik perhatian orang sehingga terserlah perhiasan diri seseorang wanita. Manakala memakai gelang kaki berloceng bagi anak-anak perempuan yang masih kecil dan bertujuan untuk pengawasan pula adalah harus.

Ia tidak termasuk dalam larangan di atas kerana tidak bertujuan menarik perhatian lelaki dan usianya masih kecil.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Sabtu, 26 November 2011

Tazkirah SEDAP ~ Tidak Membongkak Dengan Ilmu.


Masalah ujub (bongkak) dan tidak mengamalkan ilmu yang ada semakin lama semakin membarah di kalangan penuntut ilmu. Sungguh ramai penuntut ilmu mula mencari ilmu untuk kemegahan dan keuntungan dunia. Ada juga sebahagian daripada mereka mencari ilmu semata-mata untuk berdebat dan menguji ulama' yang ada.

Kegusaran Nabi Muhammad terhadap hal ini sememangnya diduga ketika Baginda masih hidup lagi. Oleh sebab itu, Rasulullah pernah memberi amaran kepada penuntut ilmu mengenai hal ini.

Sabda Rasulullah S.A.W. :

"Jangan mempelajari ilmu ubtuk menyombong diri pada ulama\', berbangga dengan orang yang jahil serta memilih majlis. Seseungguhnya barangsiapa yang melakukan hal itu dia akan masuk ke dalam neraka." (Hadis Ibn Hibban dengan perawi yang dipercayai lagi sahih, demikian terang Syu'aib Al-Arna'uth dalam semakan ke atas hadis Ibn Hibban).

Begitu juga dengan sesipa yang menuntut ilmu dengan niat ingin mendapat keuntungan dunia. Rasulullah memberi amaran keras terhadap golongan ini.

Sabda Rasulullah S.A.W. :

"Seharusnya seseorang yang mempelajari sesuatu ilmu adalah untuk mendapat keredhaan Allah, namun jika dia mempelajarinya adalah kerana untuk memperoleh kesenangan dunia, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada hari Kiamat." (Hadis Ibn Hibban)

Oleh sebab niat yang tidak jujur dan ikhlas untuk menuntut ilmu kerana Allah, membuatkan ilmu yang ada hanya setakat lidah tanpa ada pengamalan. Sedangkan ilmu itu haruslah disusuli dengan amalan kerana ilmu adalah iman dan amal adalah makmum.

Yusuf Al-Qardawi dalam bukunya, Tafsir Fiqh As-Suluq fi Dhau Al-Quran wa As-Sunnah menulis:
"Sesungguhnya musibah terburuk yang menimpa kehidupan dan menerpa umat manusia adalah orang alim yang perkataannya bertentangan dengan perbuatannya dan perbuatannya mendustakan perkataannya . Orang alim seperti ini adalah bencana untuk hamba Allah dan tindakannya itu adalah tindakan yang diperingatkan Al-Quran kepada orang beriman.

Firman Allah :

"Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."(Surah As-Shaff : 3)

Maka tidak aneh apabila Rasulullah meminta perlindungan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

Zaid bin Arqam meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, jiwa yang tidak puas serta doa yang tidak dikabulkan." (Hadis Ibn Majjah)

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Bilakah Kali Terakhir Anda Menangis ?


Tidak semua tangisan itu negatif dan tidak semua insan yang menangis itu lemah.

Bilakah tangisan ini membawa erti kekuatan dan kehebatan?

1.Menangis kerana rasa cinta dan takut kepada Allah
2.Menangis kerana menginsafi kelemahan diri dan ahli keluarga dan berusaha untuk memperbaikinya.
3.Menangis apabila melihat saudara seaqidah dizalimi dan berusaha untuk membantu.
4.Menangis apabila melihat tatasusila umat Islam yang telah melampau.
5.Menangis kerana berasa syukur dengan rahmat Allah yang terlalu banyak walaupun dirinya ditimpa bencana
6.Menangis kerana menyesali dosa dan menyedari kesilapannya
7.Menangis apabila dia menemui kebenaran setelah sekian lama hanyut di dalam kesesatan.

Tangisan-tangisan ini adalah kehebatan kerana orang yang menitiskan air matanya kerana Allah, adalah orang yang cukup tinggi rasa keimanan dan taqwanya seperti yang ditunjukkan melalui sabda Rasulullah yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a

"Tidak akan masuk neraka seorang laki-laki yang menangis kerana takut pada Allah Swt. sehingga air susu kembali masuk ke dalam puting..." (H.R Tirmidzi)

Pada satu ketika Rasulullah saw. berkhutbah di hadapan para sahabat, beliau bersabda," Seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui sungguh kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis." Kemudian para sahabat menutup wajah mereka dan mereka menangis. (Muttafaq 'Alaihi)

Pada suatu hari Rasulullah saw telah mendengar seorang sahabat Baginda yang sedang membaca al Quran. Apabila sampai ke ayat yang bermaksud:

"Maka apabila langit terbelah dan menjadi merah seperti kulit yang merah" 
Surah Ar Rahman – 37

Bulu roma si pembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya:"Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah? Malang sungguh nasibku ini." Rasulullah saw berkata kepadanya:" Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama-sama."

Jawapan yang sama telah diberikan oleh Rasulullah saw kepada seorang Ansar yang duduk menangis selepas menunaikan sembahyang Tahajjud.

Abdullah bin Rawahah telah menangis pada suatu hari. Isterinya melihat keadaannya turut menangis bersama-sama, dia bertanya kepada isterinya itu:"Mengapa kamu menangis?" Kata Abdullah:"Apabila aku teringat yang aku terpaksa menyeberangi neraka melalui titian sirat, aku menangis."Aku tidak tahu sama ada aku akan berjaya menyeberanginya atau tidak."

Subhanallah, kehebatan yang terserlah dengan linangan air mata yang membuktikan kekuatan seseorang insan.

Malah di antara tanda-tanda yang menunjukkan seseorang ini keras hatinya ialah apabila dia sukar untuk menangis di hadapan Ilahi.

Bilakah kali terakhir daku menitiskan air mata keranaMu ya Ilahi?

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Isteri Solehah Penyejuk Hati Suami

Dalam satu program wanita, seorang ibu berumur lewat usia 40-an berbual mesra sambil bertanya kepada saya: "Diam tak diam, saya dah nak dapat menantu lelaki. Along Hasanah akan berkahwin bulan depan, kita ni terlalu sibuk dengan kerjaya dan kehidupan, sehingga tidak perasan anak dah semakin besar dan akan berumah tangga."

Saya membalas : "Kita perlu mengingat dan membekalkan nasihat yang pernah kita peroleh dulu daripada orang berpengalaman dan berilmu kepada mereka.

"Dulu pernah mendengar, pada masa mula-mula hendak kahwin. Tetapi, apa salahnya kita dengar untuk kesekian kalinya. Ia menjadi kata-kata hikmat dan pengajaran yang lebih bermakna. Kita dan ramai kawan masa muda-muda masih ingat nasihat itu."

Perbualan saya dengan wanita itu mengingatkan kepada wasiat seorang ibu solehah pada zaman kegemilangan Islam.

Mari hayati pesanan isteri 'Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

"Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.

Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu."

Nasihat di atas seharusnya diterima dengan beberapa asas penting:

-Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.

-Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.

-Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada 'dua bahagian muka syiling'. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin Allah.

"Kita hanya boleh mengubah diri sendiri. Percayalah apabila kita berubah, persekitaran dan orang di sekeliling juga akan berubah secara positif."

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Salam Maal Hijrah Tahun 1433H.. Semoga SEDAP SEDAP belaka deh !

         

Semoga di tahun 1433H nih... kita sama sama dapat berhijrah menjadi insan mu'min yang lebih baik dengan meningkatkan amal kebajikan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T...Amiin !