Isnin, 30 Januari 2012

Hari ini aku Cuti Kecemasan... SEDAP kah ?

HIDUP MAU SEDAP !!! Assalamualaikum semua... Setelah bercuti 3 hari dan Irfan melangkah ke dunia alam persekolahannya pagi tadi... aku menjadi tidak keruan... Walaupun kerja di opis menimbun nimbun namun aku terpaksa membuat keputusan untuk cuti lagi hari nih. Alasan ? hahaha... macam macam alasan aku boleh buat tapi terpulang lah hangpa nak percaya ke tak... kerana ini bukan chobaan... ini betui betui...hahahaha... walaupun aku bercuti tapi ini tidak bermakna aku lepak kat umah goyang kaki... pelbagai tugas yang kritikal perlu diselesaikan di samping hal hal yang tidak kritikal tetapi boleh dimanfaatkan...  Ini lah alasan aku kenapa aku Emergency Leave (EL) hari nih... :-
  1. Setelah seminggu Irfan bercuti, aku pasti dia kana mengalami orientasi tak keruan terutamanya apa yang telah kami selaku ibu bapa telah ajar sebelum cuti. Contohnya waktu rehat kene pergi kantin makan bekal yg mama sediakan, bawak botol air dan pastikan simpan balik kat beg sekolah nanti hilang,  jangan main kat cerun bukit atau longkang nanti jatuh, jangan main kat tengah panas di padang nanti itam, ambil peluang waktu rehat ni pi bilik air kencing, dan pastikan semua alat tulis disimpan rapi, jangan bagi kawan kawan amibil main... So aku dikehendaki jaga Iesya sementara mem aku pantau irfan sewaktu irfan rehat.
  2. Road tax untuk kesemua kereta aku nih akan dan ada yang dah mampuih. So hari ni aku ambil kesempatan utk settle kan semuanya sekaligus !
  3. Iesya dijadualkan kene cucuk hari nih kat klinik kerajaan.
  4. Ketiadaan aku selama 3 hari di rumah, ada pulak parcel dari GDex mai... dah 2 kali attempt depa buat tapi aku tarak kat umah. Jadi aku diminta ke seremban ambil sendiri parcel tersebut... hurmmm.....
  5. Aku demam selesema dan batuk daaa...uhuk uhuk...
  6. Uruskan hal hal perbankan...
Ketiadaan pembantu rumah sedikit sebanyak mengganggu gugat kelancaran di rumah aku. Namun sebenarnya aku lebih rela begini hari hari dari hidup dengan orang yang aku umpamakan, musuh dalam selimut, api dalam sekam atau gunting dalam lipatan... Sebelum dia tuduh aku lagi teruk... baik aku bye bye je lah ngan maid aku yang giluuu nih... hahahaha...Aku abadikan kisah maid aku yang psycho di SINI

So geng geng loop... sorry wa cuti lagi hari nih.... mesti bersepai mailbox aku .... besok laa check tengok.. hahahahahaa

Tazkirah SEDAP ~ C.I.N.T.A



Cinta buta, cinta mati, cinta yang membawa maut dan bermacam-macam lagi cinta selalu dikenali di sekitar para remaja masa kini. Cinta memang wujud, tidak benar andai seseorang itu berkata dia tidak pernah jatuh cinta atau sedang bercinta. Berkemungkinan cinta mereka tidak berbalas dan oleh sebab itu seseorang berkelakuan tidak ingin bercinta dan ingin hidup seorang diri.

Tetapi, cuma satu sahaja manusia sering lupa. Cinta sesama insan tidak akan kekal lama. Ini kerana, kita ada Tuhan dan Tuhan kita adalah Allah. Allah berkuasa menarik apa sahaja yang Dia ciptakan termasuk orang yang kita sayang .

Oleh itu, renungkan dan ingatlah bahawa cinta pada manusia tidak kekal lama tetapi cinta pada Allah tidak akan pudar buat selam-lamanya....

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Kubur


Inilah rumah yang bakal kita semua diami suatu hari nanti. Lambat cepat bergantung kepada ketentuan Ilahi. Selain dari sibuk menyediakan harta kekayaan untuk diri dan keluarga, jangan sesekali kita lupa untuk mengumpul kekayaan untuk di bawa bekalan menuju ke rumah yang bakal kita diami ini sehingga berkumpulnya di padang Mahsyar...

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Sekali Air Bah, Sekali Tanah Berubah


Air? Setiap hari kita pasti meneguknya. Cuma yang berbeza adalah perisa dan warnanya. Bila tekak sudah kembali sejuk, dan dahaga sudah hilang kita sering lupa asal usul air yang diminum itu. Air yang kita teguk itu sebenarnya diturunkan daripada langit sebagai hujan oleh Allah S.W.T kemudian ia melalui pelbagai proses kitaran alam semulajadi untuk kepentingan alam ciptaan-Nya.

Begitulah ciptaan Allah yang serba unik. Sama juga seperti api, air boleh menjadi kawan dan boleh juga membawa kemudaratan pada masa-masa tertentu.

Air yang bersih dijadikan minuman oleh manusia. Air yang kelihatan ringkas tersebut sebenarnya merupakan satu ciptaan yang sangat istimewa buat seluruh alam termasuk manusia. Ia mampu membekalkan oksigen kepada tubuh badan manusia dan menghilangkan rasa haus tekak kita.

Selain itu air juga berfungsi menghidratkan semula tubuh anda setelah bergerak aktif. Air juga berfungsi sebagai laluan untuk pergerakan zat-zat makanan dan ia turut membantu untuk mengangkut sisa-sisa proses kehidupan sel di dalam badan.

Air yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai hujan pula berfungsi menyuburkan tanam-tanaman dan menjadi minuman untuk haiwan-haiwan. Air yang sedia ada di muka bumi melalui proses penyejatan, lalu ia diturunkan kembali sebagai hujan dan mengalir daripada tempat yang tinggi dan kemudian membentuk sungai yang panjang dan lebar.

Disebabkan air, hidupan laut mempunyai habitat yang sempurna dan boleh bergerak bebas. Di hujung sungai terdapat muara, terbentuk di sebelah pantai yang menjadi kawan kepada lautan. Dengan air juga, wujudnya pulau-pulau yang indah di kelilingi keindahan kebiruan. Kata orang, indah pantai kerana airnya. Tidak akan wujud istilah pantai sekiranya tidak dilengkapi air laut.

Lautan yang luas ini pula menghubungkan satu benua dengan benua yang lain dan menjadi laluan penting untuk manusia berhubung sesama manusia di kawasan lain. Begitulah hikmahnya Allah menjadikan lautan sebagai penghubung, manakala manusia itu berbeza sama sekali paras rupanya.

Air juga boleh berubah sifatnya menjadi ais yang pejal. Allah itu Maha Bijaksana. Dia menjadikan udara yang sejuk agar dapat membekukan air menjadi ais. Dengan adanya ais, air yang panas boleh bertukar menjadi sejuk dan menyegarkan. Ais juga turun dalam bentuk salji di sesetengah kawasan yang ditakdirkan Allah. Salji yang turun menjadikan pemandangan lebih indah dan menarik. Iklim yang sejuk ini juga menjadi habitat kepada penguin dan beruang kutub untuk hidup dan mencari makanan. 

Namun, air yang banyak memberikan manfaat ini juga mampu berubah sifat menjadi ganas. Pepatah mengatakan, "Sekali air bah, sekali tanah berubah".

Contohnya, hujan yang terlalu lebat, akan mengakibatkan banjir kilat dan banjir yang berpanjangan. Air banjir inilah yang telah mampu menenggelamkan seluruh kaum Nabi Nuh A.S yang ingkar pada perintah Allah S.W.T termasuk anak dan isteri baginda pada ketika zaman kenabian baginda dahulu. Pada masa yang sama juga air itu telah menjadi penyelamat kepada orang-orang yang beriman dan Nabi Nuh A.S kerana ia telah melayarkan bahtera Nabi Nuh A.S.

Hari ini, kita telah menyaksikan pelbagai musibah yang Allah S.W.T turunkan melalui air. Musibah-musibah ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar usah lalai dan leka dengan dunia sehingga lupa pada Allah Yang Esa. Marilah kita sama-sama berusaha menjadi hamba Allah yang bertaqwa kerana kita telah menyaksikan bagaimana air yang begitu kuat berupa Tsunami mampu menghayutkan dan menenggelamkan Kota Acheh, Kota Muda, Sri Lanka, Fukushima, Miyagi dan lain-lain tempat didunia. Mahukah kita sekiranya Allah menurunkan bala yang sedemikian rupa ke atas negara kita? 

Selain itu, salji yang turun dari langit juga mampu mengakibatkan kemudaratan. Salji yang turun tanpa henti dengan lebat boleh menyebabkan cuaca sejuk yang melampau dan ini boleh mengakibatkan kematian dan kemusnahan alam. Salji yang membeku dan terapung di atas permukaan lautan juga boleh menjadi penyebab kepada karamnya sesebuah kapal dan lain-lain lagi.

Lihat, betapa sesuatu yang dianggap kecil mampu memberi impak yang sangat besar kepada seluruh alam baik impak positif mahupun impak negatif. Sungguh, Allah menjadikan sesuatu itu dengan penuh hikmah agar kita berfikir tentang kekuasaan-Nya. 

Lihatlah dengan mata hati. Fikirlah dengan Iman dan taqwa. Dengan itu, insya-Allah kita akan beroleh teladan.

"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?" (Surah al-Anbiya ayat 30)

"Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah an-Nur ayat 45)

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaran-Nya dan kekuasaan-Nya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya." (Surah ar-Rum ayat 24)

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Calon-Calon Pemuda Pilihan


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

"Berikanku sepuluh orang pemuda, maka akan ku goncangkan dunia.." – [Presiden Pertama Indonesia, Bung Sukarno]

PEMUDA.. itulah kuasa seorang PEMUDA. Mereka bukan seperti pemuda biasa-biasa, bukan juga lelaki dalam kebanyakan manusia, tetapi merekalah PEMUDA harapan BANGSA, RIJAL impian AGAMA..

"Harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu 'Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!!" - [Khalifah Islam ke-2, Umar Al-Khattab]

SubhanAllah, lelaki mana yang tidak mahu bercita-cita menjadi seperti ini?

Mustahil.. Jika mereka tiada berkeinginan untuk berusaha menjadi ke arah itu, mereka bukanlah PEMUDA yang digambarkan oleh Bung Sukarno, mereka bukanlah RIJAL yang dimahukan oleh Amirul Mukminin.. mereka hanyalah insan biasa-biasa, bukan INSAN LUAR BIASA.

"Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.." - [Surah Al-Kahfi, 18:13]

Ya Allah, bukan mudah untuk menjadi pemuda seperti itu, tetapi ia bukanlah satu perkara yang ganjil dan janggal dalam dunia sejarah kegemilangan Islam.

Lihatlah Sultan Muhammad Al-Fateh, Usamah bin Zaid, Salahuddin Al-Ayyubi, pemuda-pemuda Al-Kahfi, Saidina Ali, Imam Syafie' dan ramai lagi pemuda kebanggaan agama dalam sejarah kegemilangan Islam.

Mereka semua PEMUDA, mereka semua hampir sebaya kita.. mereka semua bercita-cita.. tetapi bukanlah bercita-cita sekecil jiwa kita, cita-cita mereka HEBAT.. impian mereka BERSEMANGAT.

SubhanAllah, bukti apa lagi yang kita mahukan untuk membuktikan pemuda seperti kitalah yang seharusnya bangun dari lena, sedar dari angan-angan yang sia-sia, bangkit dari alam maya ke alam yang nyata.

Siapa lagi yang akan jadi PENDOKONG UTAMA AGAMA, jika bukan dari dalam kalangan pemuda itu sendiri.

Andalah PEMUDA harapan AGAMA itu!

Lihatlah realiti masa kini.. pemuda kian longlai, pemuda semakin kusut masai, pemuda mudah dihina, pemuda senang dicerca.. pemuda tiada wawasan diri, pemuda tiada pegangan AGAMA yang sejati..

Ya Allah..

Katakanlah dalam diri, kamilah PEMUDA PEJUANG, PEMUDA yang bukan hanya duduk senang lenang, PEMUDA harapan AGAMA, PEMUDA perubahan identiti BANGSA.. kamilah orangnya!

Kamilah RIJAL yang ditungu-tunggu kehadirannya.. kami!!

Ya, kamilah orangnya, katakanlah dalam diri.. tekadkan dalam sanubari.. tanamkan dalam hati.

Justeru, untuk berubah dari seorang lelaki biasa kepada PEMUDA LUAR BIASA ini, ada satu perkara yang amat penting untuk kita sama-sama telitikan. Apakah ia?

Itulah HATI ..

"Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar mengetahui apa yang disembunyikan hati mereka dan apa yang mereka nyatakan.." - [Surah An-Naml, 27:74]

Jika seorang tentera itu mahu kekuatan dalam dirinya, latihan FIZIKAL merupakan latihan utama.

Begitu juga seorang PEMUDA. Jika dia mahu kekuatan rohani dalam dirinya, latihan HATI merupakan latihan yang asasi.

Untuk menjadi PEMUDA penyumbang dalam usaha menggapai 'ustaziatul'alam, HATI perlu bersih, HATI perlu jernih.. bersih dan jernih dari kufur serta segala macam kemaksiatan.

HATI itu ibarat kubu sebuah istana. Kita perlu mempertahankan kubu kita daripada diceroboh oleh Syaitan dan Iblis Laknatullah yang durjana.. kita perlu ada cara dalam mengawalnya. Kita perlu ada strategi untuk mempertahankannya.

Apakah cara dan strateginya?

Kita perlu mempertahankan pintu masuk kubu istana. Itulah strategi utama. Jika ini kita mampu lakukan, nescaya tentera-tentera Syaitan dan Iblis pasti sukar untuk menceroboh masuk ke dalam istana.

Persoalannya sekarang, apakah pintu-pintu masuk kubu tersebut? Atau secara realitinya, apakah pintu-pintu masuk Syaitan dan Iblis ke dalam hati kita?

Pintu-pintu masuk tersebut adalah sifat-sifat kita sendiri..

Sifat hasad dengki, ammarah yang keterlaluan, sifat suka bermusuh-musuhan, malas, pengotor, pengeji.. itu semua adalah sebahagian pintu-pintu masuk 'kubu istana'.

Kawallah pintu masuk tersebut, nescaya selamatlah istana.

Kawallah sifat-sifat mazmumah tersebut, nescaya selamatlah hati kita.

Itulah analoginya.. mudah untuk hadam dalam fikiran, tetapi payah untuk dilaksanakan.

Berusahalah untuk mendapat HATI yang suci, bersungguhlah demi memperolehi pangkat PEMUDA yang disegani RABBI.. nescaya pasti ada bahagian untukmu di Akhirat nanti. Percayalah!

Ayuh PEMUDA!!

Ayuh kita semarakkan semangat. Semangat yang kian lama terpendam, semangat yang sudah lama tertanam!

Jangan biarkan ia begitu sahaja, nescaya menyesal kamu di suatu ketika!

Gunakanlah jiwa pemuda kamu di tempat yang sepatutnya, di tempat yang membanggakan Islam, di tempat yang diredhai AS-SALAM.

Moga pemuda-pemuda pilihan seperti kita semua ini, bertemu gembira bukan sahaja di alam duniawi, malah bertemu riang di Syurga Firdausi. Insya-Allah.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Kenapa Subuh Petanda Kekuatan?


Waktu subuh adalah waktu perdana kepada kehidupan buat seseorang insan. Inilah waktunya apabila bermulanya kehidupan setelah insan mati buat sementara. Tidak menghairankan bahawa waktu subuh adalah salah satu daripada lima waktu solat yang wajib disempurnakan.

Waktu subuh hari adalah ujian kepada segala kekuatan. Kekuatan untuk bangun di awal pagi melepaskan diri daripada dakapan erat syaitan yang membisikkan, kekuatan untuk terus bingkas keluar dari litupan selimut hangat dan bantal empuk, malahan kekuatan untuk mengenakan air yang dingin ke muka, tangan, dahi dan ke kaki sebelum lantas bergerak ke tempat istimewa dan bermunajat bersama-sama insan pilihan Tuhan. Ini adalah kekuatan yang luar biasa yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja selagi dia mempunyai keinginan jiwa yang tinggi.

Perkara yang sama ini juga telah dijadikan indikator dan penanda aras kepada kekuatan generasi pejuang ketika berlakunya peperangan-peperangan besar di zaman yang terdahulu. Kekuatan kebangkitan dan kekuatan barisan ketenteraan bukanlah kepada fizikal dan persiapan kelengkapan semata-mata, malahan persiapan yang lebih penting ialah persiapan kekuatan generasi pejuang di dalam menagih simpati untuk menang daripada Ilahi.

Tidak hairanlah bahawa inilah penanda kekuatan yang telah digunakan oleh Solahuddin al Ayyubi dahulunya sebelum menang ketika mendepani kekuatan tentera Salib yang merupakan kesatuan gabungan ketenteraan daripada 22 buah negara-negara Eropah.

Tidak hairanlah juga bahawa soalan-soalan yang ditujukan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh mengikut urutan menggambarkan peringkat kekuatan seseorang. Lima waktu solat fardhu kemudian solat rawatib dan kemudiannya solat tahajjud. Di waktu penghujung malam sehingga subuh itu dijadikan indikator terakhir kepada kekuatan para pejuangnya. Tidak dapat dibayangkan di manakah kedudukan kita jika berada di dalam barisan tentera baginda al-Fateh. Mungkin juga kita dan barisan pemuda kebangkitan kini bakal berada di barisan tercorot sekali.

Di atas alasan yang sama inilah juga menyebabkan agen-agen KGV di Chechnya dan agen-agen Gaddafi di Libya akan menangkap pemuda-pemuda yang bersolat subuh secara berjamaah dengan keyakinan bahawa mereka adalah pemuda kebangkitan yang bakal menggegarkan kerajaan Russia dan Libya.

Setelah kau berkeringat menyiapkan semua kelengkapan. Setelah kau canangkan semangat ke seluruh negara. Setelah kau iklankan kepada dunia seluruhnya. Namun, jangan lupa untuk menagih simpati dan pertolongan daripada Pemberi Kemenangan yang hakiki.

Wahai teman seperjuangan ! Sekiranya kita ingin memiliki kemenangan, jangan alpa dengan kekuatan yang ada pada waktu subuh, walhal terang dan nyata bahawa ianya merupakan petunjuk agung ciptaan Ilahi. Untukmu teman pejuang, inilah permulaan kepada semua kekuatan yang sebenar.

Ingatlah sumpahan Pemilik kepada segala kerajaan agar kita bisa meraih kemenangan.

Artikel Dikarang Oleh Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Pengorbanan


Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain.

Sesungguhnya pengorbanan itu bermaksud, usaha seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada penciptanya melalui amal perbuatannya yang ikhlas.

Jujur adalah sebuah pengorbanan yang tidak hanya membuat diri kita terhormat di mata orang lain tetapi lebih utama lagi, terhormat di sisi Allah.

Pejuang sejati boleh dilihat dari seberapa banyak pengorbanan yang diberikan.

Orang yang tidak mahu berkorban adalah orang yang menunjukkan kehinaan dirinya.

Ciri orang yang beriman adalah senantiasa rela berkorban untuk kepentingan umat.

Kesungguhan, kegigihan, keikhlasan dan pengorbanan adalah pilar-pilar cinta sejati.

Tunjukkan rasa cinta kita dengan berkorban kerana tidak ada cinta tanpa pengorbanan.

Allah membenci orang yang bersifat kikir kerana kekikiran itu akan menimbulkan kezaliman dan kedengkian.

Semakin orang itu mencintai apa yang dimilikinya semakin sulitlah dia berkorban untuk orang lain.

Jadilah manusia yang senantiasa mahu berkorban untuk sesama kerana itu menunjukkan kemuliaan akhlak.

Allah sangat mencintai orang-orang yang selalu ingin membahagiakan orang lain dengan apa yang dimilikinya.

Semakin seseorang itu banyak berkorban untuk orang lain, semakin mulialah dia di sisi Allah dan manusia.

Allah mencintai orang yang berkorban dengan harta dan jiwa untuk menegakkan kebenaran.

Allah sangat mencintai orang-orang yang berkorban untuk mendapatkan keredhaanNya, kerana itu menunjukkan cinta sejati pada Allah.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Tanpa Kita Sedar


Tanpa kita sedar masa terus berlalu meninggalkan kita dan kita pula asyik leka, alpa dan asyik dengan duniawi

Tanpa kita sedar sudah banyak wang ringgit kita habiskan untuk berfoya-foya namun sedikit sangat amal jariah kita terhadap mereka yang memerlukan

Tanpa kita sedar selama kita bercakap akan keburukan orang lain akan tetapi kita dibutakan dari melihat kelemahan dan kedaifan diri sendiri

Tanpa kita sedar peluang sudah diberi untuk berjaya namun kita angkuh dan meremehkannya lalu rebah tersungkur ke jalan kegagalan

Tanpa kita sedar nasihat sudah mengunung diberikan kepada kita tetapi kita memekakkan telinga dan menahan hati darinya lalu kita mudah digoda dan disesatkan

Tanpa kita sedar dosa menimbun dan makin bertambah, akan tetapi kita sering lupa untuk bertaubat sedangkan pintu taubat sentiasa terbuka

Tanpa kita sedar mata dikurnia memperlihatkan ciptaanNya , sebaliknya kita merosakkannya dengan pandangan hina dan jahil

Tanpa kita sedar mulut diberi hak berbicara agar sentiasa melafazkan kata-kata zikir kepadanNya, sebaliknya kita mempergunakannya dengan berkata-kata dengan perkataan lagha

Tanpa kita sedar telinga diberi hak untuk mendengar alunan kalam suciNya , sebaliknya kita memperlakukannya dengan menerima berita-berita fasik dan fitnah

Tanpa kita sedar kaki dan tangan yang sempurna dikurniakan agar melakukan ibadat kepadaNya sebaliknya kita terpelangkup dalam dunia kemaksiatan

Tanpa kita sedar kita selalu menyalahkan takdir walhal kita diberi peluang dalam mengubahnya

Tanpa kita sedar kita selalu lupa akan Allah, namun Allah tidak pernah sesekali melupakan hambaNya

Tanpa kita sedar kita sering mengatakan keseorangan padahal Allah sentiasa bersama kita sepanjang masa

TANPA KITA SEDAR KITA SUSAH UNTUK TERSEDAR DARI KEASYIKAN DUNIAWI KEPADA KESEDARAN MENGINGATI ALLAH DAN RASULNYA....

Itulah kita yang seringkali harus disedarkan secara berulangkali agar tidak jauh dari hidayahNya....

Dan Tanpa Kita Sedar

Allah itu sentiasa menyayangi hambaNya yang soleh dan taat kepadaNya...

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Kesan Tamadun Islam Terhadap Dunia Matematik

Pada awal kurun ke-7, satu tamadun baru muncul di tanah Arab. Dibawah pimpinan Muhammad s.a.w, dakwah yang bawa Rasulullah tersebar pesat dan luas menambat hati dan iman penduduk Semenanjung Arab.

Kurang satu abad selepas kota Mekah dibuka semula pada tahun 630, kerajaan Islam telah berjaya menyebar luaskan agama Islam sehingga ke India dan hingga ke tengah benua Asia bagi bahagian timur.

Di bahagian barat, penyebaran agama Islam lebih cepat berlaku terutamanya dibahagian utara benua Afrika. Pada Tahun 711, Islam berjaya sampai ke Sepanyol.

Hasil daripada penyebaran agama Islam hingga hampir dua per tiga dunia memberi perkembangan dan kemajuan kepada kerajaan Islam. Budaya Islam menjadi cara hidup manusia pada ketika itu.

Inilah titik permulaan kepada perkembangan ilmu pengetahuan. Agama Islam telah membawa satu budaya yakni budaya cintakan ilmu yang sangat besar peranannya kepada dunia ilmu pengetahuan.

Itulah cantiknya Islam, tidak pernah menolak bulat-bulat ilmu pengetahuan di dalam kehidupan.

Sejarah Matematik Islam

Ahli sejarah dan Ahli Matematik barat lebih suka merujuk perkembangan sejarah Matematik ditanah Arab sebagai Matematik Islam kerana ia adalah kesinambungan daripada ajaran Islam yang bawa Rasulullah yang mementingkan soal ilmu pengetahuan.

Perkembangan Ilmu pengetahuan banyak berlaku di zaman pemerintahan Abbasiyyah yang dalam masa yang sama Eropah masih di Zaman Gelap.

Oleh itu ilmu lebih banyak terbudaya dikalangan orang Islam manakala orang Eropah disekat hak untuk berfikir. Jadi, Matematik Islam lebih sesuai dengan daripada Matematik Arab.

Pada tahun 766, Khalifah Al-Mansur membuka kota Baghdad yang selepas itu menjadi tempat perkembangan Ilmu termasyhur didunia. Cendiakawan dan cerdik pandai dialu-alukan kedatangan mereka ke Kota Baghdad.

Khalifah Harun al-Rashid yang memerintah dari tahun 786 hingga 809 telah menubuhkan perpustakaan di Baghdad.

Manuskrip-manuskrip dikumpulkan dari pelbagai bidang dan akademi-akademi di timur barat terutamanya dari tamadun Yunani termasuk manuskrip Matematik Yunani Klasik dan teks-teks saintifik. Kemudian ia diterjemahkan ke bahasa Arab.

Penganti Harun al-Rashid, Khalifah Al-Ma'mun meneruskan usaha ini pada skala yang lebih besar dan sehingga tertubuhnya Baitul Hikmah yang bertahan selama 200 tahun.

Ilmuan-ilmuan dari seluruh bahagian dalam pemerintahan dijemput untuk menterjemahkan bahasa Greek dan India dan juga menjalankan penyelidikan.

Pada akhir kurun ke-9, pelbagai kertas-kertas kerja cendiakawan seperti Euclid, Archimedes, Apollionius, Diophantus, Plotemy dan ramai lagi ahli matematik Yunani diterjemahkan kebahasa arab untuk kegunaan ilmuan-ilmuan disana.

Ilmuan-ilmuan islam bukan hanya mengumpul kajian-kajian lama, bahkan mereka telah mengembangkan ilmu-ilmu kepada satu perspektit baru yang lebih releven.

Ini kerana ahli matematik sebelum mereka mengunakan matematik untuk perkara-perkara yang tidak penting kepada manusia seperti menghitung cinta dan sebagainya.

Di dalam Matematik Islam, ia lebih banyak digunakan untuk perkara-perkara yang praktikal dan berguna untuk manusia, dan juga disebut sebagai Sunnatullah.

Para Ilmuan Islam mengkaji dan berakhir dengan bertemu dengan Kebesaran Allah. Inilah beza antara saintis Islam dan saintis. Tujuan mereka adalah Allah.

Ilmuan Islam sentiasa memulakan kerja dengan lafaz "Basmalah".

"The mathematicians responded by always invoking the name of God at the beginning and end of their works and even occasionally referring to Divine assistance throughout the texts"
(Victor J. Katz)

Terpegun membaca ayat ini. Subhanallah, begitulah akhlak ilmuan Islam dahulu yang sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkerjaan yang mereka lakukan. Sentiasa memulakan dan mengakhiri dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, serta segala apa yang mereka berjaya hasilkan, mereka dikembalikan pujian hanya kepada Allah.

Tidak seperti ahli matematik Yunani, Ilmuan Islam tidak hanya berdasarkan teori, bahkan juga secara praktikal untuk memudahkan kehidupan seharian manusia, atau hari ini dikenali sebagai Applied Math atau matematik gunaan.

Hari ini, satu sejarah lengkap tentang Matematik Islam masih belum ditulis, kerana masih banyak tinggalan manuskrip Ilmuan Islam yang masih belum dikaji di perpustakaan seluruh dunia.

Oleh kerana kepentingan politik yang memeningkan, akses kepada hasil kajian mereka yang penting disekat dan dilarang.

Namun, fakta asas tentang dunia Matematik Islam masih diketahui. Antara sebab penyekatan ini adalah untuk mengelak umat Islam sedar yang tamadun Islam sangat banyak menyumbang kepada percambahan ilmu pengetahuan pada masa ini.

Ia juga antara rancangan musuh Islam untuk melenyapkan kehebatan Islam dari pengetahuan umat Islam di Zaman ini.

Ahli matematik Islam banyak menyumbang untuk secara khususnya dalam penggunaan titik perpuluhan, dan juga mengembangkan topik Algebra secara tersusun dan juga dalam topik Geometri.

Beberapa penambahbaikan dalam topik Trigonometri. Apabila Eropah keluar dari Zaman Gelap, mereka tidak memerlukan masa yang banyak untuk mengejar apa yang mereka terkebelakang kerana semuanya hampir lengkap. Hanya perlukan penjenamaan semula dan kembangkan ilmu itu.

(Olahan semula dari buku A History Of Mathematics: An Introduction; Victor J. Katz: Chapter The Mathematics of Islam)

Sejarah ditulis oleh pemenang

Hari ini, banyak formula-formula dan tajuk-tajuk matematik terabadi nama ilmuan barat didalamnya. Walaupun hakikatnya mereka hanya menjenamakan semula apa yang telah ada dalam dunia matematik Islam. Nama-nama ilmuan Islam tidak terabadi dalam sebarang teori-teori dan formula-formula matematik.

Hanya nama-nama seperti Euclid, Newton, Einstein, Diophantus, Sarrus, Fibonacci dan sebagainya lebih banyak diabadikan.

Mungkin nama-nama ilmuan Islam tidak diabadikan bertujuan untuk menjauhkan Islam daripada disebut dalam lecture dan supaya Islam dilihat tidak significant dengan Ilmu. Sekadar pandangan.

Ayuh budayakan semula budaya cintakan Ilmu supaya kita turut maju kehadapan dan kita hapuskan salah tanggapan dunia kepada Islam. Kembalilah kepada Islam. Hujung Akal, pangkal Agama. Ilmu ditimba diakhirnya bertemu dengan Kebesaran Allah, Tuhan Yang Mengetahui.

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tazkirah SEDAP ~ Fenomena Sungai Di Dalam Laut


Jika kamu termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV 'Discovery' pasti kenal Mr. Jacques Yves Costeau, dia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis. Orang tua berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke pelbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.

Pada suatu hari, ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba dia menemui beberapa kumpulan mata air tawar yang segar dan sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.

"Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi." [Surah Al-Furqan (Ayat 53)]

"Dia biarkan dua lautan bertemu." - Surah Ar-Rahman (Ayat 19)
"Di antara keduanya ada sempadan yang tidak boleh ditembus" [Surah Ar-Rahman (Ayat 20)]

Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al-Quran itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Quran ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman yang mana belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera.

Berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam benar-benar suatu mukjizat. Akhirnya terbukti pada abad 20, Mr. Costeau berkata bahawa Al Quran memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya adalah benar belaka.

Allahu Akbar. Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. 

Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita , Mexico . Disana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air masin, lalu anda dapat melihat sebuah "sungai" di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun daunan.

Setengah pengkaji mengatakan, ia bukanlah sungai biasa, ia adalah lapisan hidrogen sulfida, nampak seperti sungai. Luar biasa bukan? Lihatlah betapa hebatnya ciptaan Allah SWT.

"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang hendak kamu dustakan?" [Surah Ar-Rahman (Ayat 13)]

Lagi Gambar Dan Video Mengenai Fenomena Sungai Di Dalam Laut..

Artikel Ini Senaja Di Post Di Pages Ini Untuk Memberi Kesedaran Kepada Kita Semua Bahawa Allah S.W.T. Maha Berkuasa Dari Segala-galanya.. 

Allahuakhbar!

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB