Khamis, 15 Disember 2011

Tazkirah SEDAP ~ Keruntuhan Martabat Umat Islam, Mengapa Dan Apakah Jalan Penyelesaiannya ?

Agama Islam adalah agama yang telah disempurnakan oleh Allah s.w.t untuk para hambanya. Sesiapa saja yang mengamalkan segala tuntutan agama ini, yakni dengan mentaati perintah Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w dalam segala lapangan kehidupan dan meninggalkan serta cuba menjauhi sedapat mungkin segala laranganNya, pasti akan memperoleh kejayaan dan kemuliaan di dunia dan di akhirat.

Sebaliknya, keingkaran untuk memenuhi segala tuntutan tersebut akan mencampakkan sesiapa saja yang mengaku sebagai orang Islam ke lembah kehinaan. Kehinaan akan meliputi setiap inci ruang kehidupan mereka.

Tidak hairanlah dimana saja kedengaran mengenai tragedi yang menimpa umat ini. Mereka dihina, ditindas, dibunuh, dihalau dari kampong halaman sendiri dan harga diri mereka sebagai orang Islam telah dicabut dengan rakus sekali.

Dimanakah letaknya kesilapan?

Dimanakah kelemahannya?

Apakah penyakitnya?

Bagaimana untuk mengatasi masalah ini?

Segala jawapannya ada didalam Agama Islam itu sendiri.

Pada zaman yang akhir ini tiada seorangpun dapat menafikan bahawa rata rata orang Islam sedang tenggelam didalam kealpaan dan kelalaian dari mentaati perintah Allah s.w.t. Kelalaian mereka mengingati mati sudah tidak perlu diperkatakan lagi memandangkan terlalu kurang masa yang disediakan untuk membuat persediaan menemui Allah jalla wa azza, dimana sebahagian besar masa pengorbanan dan susah payah hanya diberi untuk menunaikan keperluan duniawi mereka.

Didalam agama tidaklah dilarang berusaha keatas kehidupan dunia, tetapi apa yang menjadi masalah adalah pelanggaran terhadap batasan batasan halal haram yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Ibadat ibadat yang unggul seperti solat, puasa dan sebagainya telah dicuaikan dan jika ada yang menunaikannya hanyalah sekadar melepaskan hukum fardhu dan hanya sebagai rutin yang hilang kesempurnaannya.

Cinta kepada dunia dan takut mati telah menjadi dua faktor yang paling berkesan dalam proses penghitaman hati mereka dan seterusnya menutupi naluri mereka dari ghairah terhadap kehidupan akhirat. Terdapat juga tuduhan liar dan jahil yang kononnya memperjuangkan pembangunan dan kemajuan dunia untuk kepentingan umat Islam dengan mengatakan kemunduran umat Islam adalah kerana mereka terlalu prihatin didalam gerakan gerakan Islam didalam negara masing masing.

Ini telah menambahkan prejudis atau sangkaan mereka yang buta hati tentang asbab atau faktor yang menentukan kemuliaan umat Islam terhadap pejuang pejuang agama tersebut. Mereka seolah olah takut dengan bayang bayang sendiri dan ragu dengan agama mereka. Faktor faktor menentukan kemuliaan dan kegemilangan umat Islam telah jelas didalam Al Quran sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T

Puak jahil terus mempersendakan mereka yang mengabdikan diri pada tugas menghidupkan agama dan sunnah Rasulullah s.a.w sebagai agen kemunduran. Mereka amat jahil tentang satu fakta yang terpenting bahawa sebagai orang Islam mereka tidak akan terlepas dari perintah Allah s.w.t dan hidup mereka mesti dibatasi oleh SyariatNyayang mulia. Ketaatan dan ketakwaan merekalah yang menjadi faktor penentu didalam menarik rahmat Allah s.w.t. Wujudnya manusia yang soleh bertakwa, dan beramal soleh adalah satu rahmat untuk mereka yang ragu ragu dan menentang agama mereka sendiri. Disebabkan amalan insan yang soleh inilah Allah s.w.t masih belum mengazab mereka dengan sekeras kerasnya.

Berapa banyak kaum dan negara yang telah dibinasakan oleh Allah s.w.t dahulu, dan apa yang sedang berlaku sekarang adalah akibat kemungkaran penduduknya walaupun mereka mempunyai segala galanya dari kemajuan dan tamadun tetapi apabila Allah s.w.t mengambil keputusan untuk mengazab mereka, maka kemajuan dan tamadun mereka tidak sekali kali dapat menghalangnya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan (penduduk) negeri itu telah kami binasakan ketika mereka berbuat zalim dan telah kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka". (Al Kahfi 59)

FirmanNya lagi yang bermaksud: "Dan diantara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila dia berpaling (dari mukamu), dia berjalan dimuka bumi ini untuk mengadakan kerosakan padanya dan merosakan tanam tanaman dan binatang ternakan padahal Allah tidak menyukai kebinasaan. Dan apabila dikatakan kepadanya; Bertakwalah kepada Allah, maka bangkitlah kesombongannya yang mrnyebabkan dia berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka jahannam. Dan sesungguhnya neraka jahannam itu tempat tinggal yang seburuk buruknya". (Al Baqarah. 204,205 dan 206) .

FirmanNya lagi: "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (kejalan yang benar). (Ar Rum 41).

Sekiranya mereka hanya mendendangkan lagu lagu patriotik dan mencanangkan kemajuan tanpa menganbil berat tentang pengamalan agama,sudah pasti akan mengundang azab dan musibah akibat dari kemurkaan Allah s.w.t. Jika ada laungan keperihatinan terhadap agama, hanya dilakukan sambil lewa dan hanya sesuai dengan hawa nafsu yang selari dengan motif motif politik mereka. Akibatnya timbulah unsur unsur yang tidak begitu sihat seperti kemunculan alim ulama yang diperalatkan terutamanya dalam memainkan peranan mengeluarkan fatwa fatwa yang secocok dengan selera mereka.Kesan yang paling buruk yang ditinggalkan adalah dimana umat keseluruhannya hidup dalam kekeliruan antara yang hak dan batil kerana setiap yang hak dikatakan batil dan yang batil dikatakan hak.

Umpamanya menutup aurat oleh kaum wanita dikatakan satu kemunduran dan mendedahkan aurat pula satu kemajuan. Mereka yang banyak beribadat diingatkan supaya jangan melupakan keduniaan tetapi mereka yang bergelumang dengan kemaksiatan tidak pula diingatkan supaya jangan melupakan akhirat. Gerakan dakwah dicerca dan dihalang tetapi perbuatan maksiat diberi galakan sepenuhnya dengan alasan ianya menguntungkan ekonomi negara walaupun mereka terpaksa mendorong umat Islam berlari menuju neraka. Begitu juga media massa dimana gerakan Islam dilumuri fitnah, sedang liputan hiburan dan aktiviti kemaksiatan dilakukan bersungguh sungguh dengan penuh keredhaan. Bahkan mereka menjadi agen agen pendorong didalam menimbulkan kegairahan umat Islam untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemaksiatan itu sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kesimpulannya marilah kita memperbanyakkan amalan dengan berselawat keatas Nabi s.a.w dan membaca Al Quran.

Marilah kita meramaikan kembali majlis majlis ilmu dengan mengunjungi kuliah kuliah agama di masjid masjid berhampiran supaya kita mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah s.w.t. Janganlah kita tertipu dengan syaitan laknatullah yang sedang menampakan keburukan dengan perhiasan yang indah. Kuatkan semangat berjuang melawan nafsu kerana kitalah mujahid mujahid yang bakal menentukan keamanan, ketenangan keluarga dan negara.

Sentiasalah berdoa kerana Allah s.w.t tidak akan pernah jemu menerima apa jua permintaan yang baik baik dari hambanya walaupun pada setiap detik. Jadilah umat yang soleh, kebanggaan Nabi kita Muhammad s.a.w supaya kita dapat menumpang dibawah panji panjinya di akhirat kelak. Jauhi perbezaan dekati persamaan agar kita kembali bersatu dibawah naungan agama Islam yang mulia ... Allahu Akbar...!!!!

Petikan dar
i Jom Berdakwah Di FB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan